Resepi Nasi Arab (Maqlubah)

 
Nasi Maqlubah Kambing atau Resepi Nasi Arab (Maqlubah), suatu topik menarik!


Nasi Arab ni ada banyak jenis. Ikut negara masing-masing. Antara yang masyhur kat Jordan (rasanyalah) Mansaf Kambing/ Ayam, Maqlubah, Kabsah dan Bukhari. Kat Jordan Ruz Bukhari tak terkenal sangat, tapi yang paling glemer Mansaf Kambing…sedap sangat. Tapi hari ni nak kongsi resipi Ruz  al-Maqlubah. Resipi ni dapat secara terus dari masa belajar di Jordan dulu. Tak silaplah belajar resipi ni dari Nabilah Syudaifat. Menjadi adat orang Arab menjemput tetamu datang ke rumah dan akan dihidangkan dengan nasi ni. Dulu masa belajar kat sana, seronok sangat kalau dapat jemputan makan ni. Nasi ini akan dilambakkan dalam dulang (macam orang tabligh makan, kat Jordan dulu memang budaya makan dalam dulang, dapat merapatkan ukhuwah, jimat dan berkat. Tapi kalau kat Malaysia ramai yang geli, makan pun guna sudu dan garpu, lebih barat dari orang barat) dengan ayam sekali.

Kalau orang Arab 3 orang boleh habiskan nasi tu, tapi kalau orang Malaysia, penat rasanya nak habiskan nasi tu. Adat mereka tak boleh makan sampai habis, kena tinggalkan sedikit dalam dulang tu, kalau makan sampai habis mereka akan tambah lagi, sebab pada mereka satu keaiban kalau tetamu makan sehingga habis seolah-olah tuan rumah tak cukup nak beri makanan. Lain bangsa lain adatnya. Kita orang Melayu kalau makan kena sampai habis, kalau tak nasi tu menangis (teringat masa kecil-kecil mak cakap macam tu).

Sempat juga tanya, kenapa namanya al-Maqlubah, jawapannya nasi tu bila dah masak akan di Maqlubkan (ditelangkupkan) ke dalam dulang, sebab itulah namanya al-Maqlubah. Setiap nama itu ada sejarah dan sebab dinamakan dengan namanya, Cuma kita selalunya yang tak prihatin. Ruz al-Maqlubah ini makan bersama dengan ayam dan salatah, ada juga yang tukar salatah dengan fattush,, kemudianlah, nak masak nasi dulu.

Salatah : Tomato dipotong dadu, timun pun dipotong dadu, sedikit lemon di hiris dan ambil jusnya, sedikit garam. (selera Melayu tambah cili merah, nenas dll)

Fattush : Sama macam salatah, bezanya ditambah sedikit minyak zaitun dan sedikit lada hitam. Siap untuk di makan. (Selera Melayu atas nasi tabur daun sup dan bawang dan bawang goreng).

Resipi 1 

1.      Bahan 1
-          Beras yang telah dibasuh dan ditos.
-          Minyak Zaitun
-          Herba (kayu manis, biji rempah, bunga lawang, cengkih,pelaga,lada hitam, lada putih, kunyit, halia) dikisar halus. Nak selera Melayu boleh tambah serbuk kari atau serbuk kurma.
2.      Bahan 2
-          Terung, Lobak merah, bunga kubis, labu air, kentang- semua bahan ini digoreng. Boleh tambah apa-apa lagi sayur yang sesuai.
3.      Bahan 3
-          Ayam direbus sekejap sangat. Ambil airnya untuk masak nasi.
Caranya:
Beras yang telah ditos digaulkan dengan semua herba tadi. Kemudian diletak selapis demi selapis di dalam periuk. Letak beras, kemudian sayur, kemudian beras, kemudian ayam, kemudian beras, kemudian sayur, kemudian beras….begitulah seterusnya sehingga habis semua. Masukkan air rebusan ayam tadi dan minyak zaitun. Letak garam secukup rasa. Nak tambah maggie secukup rasa pun boleh. Sedia untuk dimasak. Masak macam biasa sampai nasi betul-betul masak.

Kalau selera Melayu tumis bawang besar dan bawang putih, kemudian barulah masuk bahan-bahan tadi.

 

 

 

Nasi Maqlubah Kambing atau Resepi Nasi Arab (Maqlubah)
Resipi Alternatif di http://ceria-resipi.blogspot.com/2010/12/nasi-maqlubah.html