"
Masjid Babri yang kini terbiar selepas serangan.
Mereka sentiasa berusaha untuk memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan
mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang
kafir tidak menyukainya.Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w)
dengan membawa hidayah dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia
memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun
orang-orang musyrik tidak menyukainya. (Al-Saff
ayat 8 dan 9)
BERAPA ramai di antara kita masih mengingati tragedi ummah yang berlaku pada
tahun 1992? Iaitu pada tarikh 6 Disember tahun itu,
Masjid
Babri di
Ayodhya,
India tidak dapat
dipertahankan dan diselamatkan apabila institusi suci umat Islam itu
dimusnahkan oleh puak pelampau Hindu.
Lokasi Masjid Babri di Ayodhya, India
Seramai 150,000 pejuang nasionalis Hindu yang tidak dapat dihalang
memusnahkan masjid itu dalam konflik berpanjangan perebutan antara Hindu dan
Muslim di India.
Salah seorang pelampau Hindu atau lebih tepat, dalang untuk meruntuh dan
memusnahkan Masjid itu merupakan seorang pemuda yang bernama Shive Prasad
berasal dari Faisabad, iaitu daerah di mana terletaknya masjid itu.
Prasad ialah ketua sebuah parti politik
Bajrang
Dal yang diberi kepercayaan
dan tanggungjawab ‘suci’ untuk mengetuai hampir 4,000 penduduk kampungnya,
Kar Sevak bagi memastikan masjid itu akhirnya runtuh.
Tindakan melampau untuk meruntuhkan masjid purba itu telah dirancang dengan
baik oleh Prasad. Beliau memberi arahan dan latihan yang secukupnya kepada
para pengikutnya seramai 4,000 orang itu bagi memastikan rancangan itu
berjaya.
Satu tindakan yang melanggar undang-undang apatah lagi menghormati perasaan
penduduk Islam yang lain.
Sedangkan masjid itu merupakan salah sebuah masjid terbesar di negeri Uttar
Preadesh, utara India dengan bilangan umat Islamnya seramai 31 juta orang.
Pada hari kejadian itu, Prasad tidak sahaja menceroboh masuk malah berjaya
memanjat kubah besar masjid dan bersama pengikut-pengikut yang lain mereka
berjaya menawan masjid itu. Kemudian bersorak gembira apabila mereka
akhirnya berjaya meruntuhkan kubah dan keseluruhan masjid tersebut.
Mereka melaung-laungkan perkataan “Ram! Ram!” sebagai tanda kemenangan
kononnya masjid itu akhirnya berjaya jatuh ke tangan pelampau Hindu.
Suasana tegang ketika Masjid Babri diserang
Prasad puas hati kerana berjaya mengembalikan hak penganut Hindu yang
kononnya masjid Babri itu dibina atas tapak kuil, yang dibina bagi
memperingati tempat kelahiran tuhan mereka yang bernama Rama.
Namun tujuh tahun selepas kejadian itu, pada tarikh yang sama kejadian
runtuhan Masjid Babri itu, Prasad akhirnya sujud memohon ampun kepada Allah
atas ‘kejahatan’ beliau terhadap Masjid Babri itu. Malah beliau berpuasa dan
menyesali sehingga mengalir air mata memohon Allah mengampuninya yang
tergamak meruntuhkan rumah ibadat itu.
Kuasa Allah
Ya, pada tarikh 6 Disember 1999 itu, dengan kuasa Allah, Prasad memeluk
Islam dan menukar namanya kepada Mohammed Mustafa.
Berita pengislaman pemuda itu disiarkan oleh Malayalam News keesokan harinya
iaitu pada 7 Disember 1999 yang kemudiannya dipetik oleh Arab News
Publications di Arab Saudi.
Berita itu amat mengejutkan apabila melihat sendiri latar belakang Prasad,
terutama bapanya, Trigal Ramanathan merupakan Ketua Puak
Sangh
Parivar di mana seluruh puak
itu terbabit secara aktif dalam usaha meruntuhkan Masjid Babri.
Menurut pemuda ini, sejak kejadian runtuhan masjid itu, Prasad dihantui
perasaan bersalah sehingga begitu menekan jiwanya. Walaupun pada tangannya
masjid itu akhirnya runtuh, namun ia tidak menjanjikan kedamaian berikutan
beliau merasakan telah melakukan satu dosa yang amat besar.
Mungkin dengan keluar dari India, Prasad mengharap beliau tidak lagi diburu
oleh perasaan bersalah itu. Lalu beliau mencari pekerjaan di
Sharjah salah
sebuah negara anggota Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Namun fikirannya masih tidak tenang walaupun beliau menyibukkan diri dengan
pekerjaan dan suasana yang baru di negara itu.
Sehinggalah pada 4 Disember tahun 1998, pada hari itu beliau berjalan
seorang diri di sebatang jalan di bandar Sharjah. Secara tiba-tiba beliau
terdengar suara khatib dari sebuah masjid berhampiran. Menariknya, khutbah
itu disampaikan dalam bahasa Urdu dan beliau dapat mengikuti khutbah itu
dengan jelas.
Prasad berhenti untuk mendengar khutbah itu dan alangkah terkejutnya pemuda
ini apabila sang khatib menyebutkan bahawa Allah Yang Maha Berkuasa atas
segala sesuatu, mampu mengubahkan hati-hati yang tidak mempercayai
kewujudan-Nya selama ini.
Sejurus mendengar khutbah itu sehingga akhir, semacam satu perasaan yang
tenang menyelinap masuk ke hatinya. Malah seolah-olah telah tercabut satu
beban besar yang selama ini menyebabkan fikirannya menjadi begitu serabut.
Segala puji-pujian terhadap Allah yang akhirnya telah memberi hidayah dan
membukakan hatinya walaupun dirinya telah melakukan kesalahan yang lazimnya
sukar untuk diterima apatah lagi dapat dimaafkan.
Namun berita Prasad memeluk Islam itu tidak sahaja menimbulkan kemarahan
keluarga. Malah akibat tidak dapat menanggung malu, Prasad akhirnya dibuang
oleh keluarganya sendiri. Beliau tidak dibenarkan pulang semula ke India,
kalaupun dia pulang juga maka nyawanya akan terancam.
Berita pengislaman Prasad itu juga menyebabkan parti-parti politik dan
pelbagai pertubuhan Hindu yang menyokong tindakan beliau beliau meruntuhkan
Masjid Babri turut marah dan mengancam untuk membunuhnya tanpa mengira masa
dan tempat.
Namun apa pun ancamannya Prasad tetap teguhkan imannya terhadap Islam. Islam
menjadikan beliau seorang manusia ‘baru’ yang dahagakan kebenaran
sehinggakan dalam tempoh yang masih baru mengenal Islam beliau berjaya
menghabiskan bacaan dan mempelajari 17 surah dalam al-Quran. Malah beliau
bersungguh-sungguh untuk khatam kitab suci itu.
Cita-citanya kini adalah untuk berkongsi kebenaran mengenai Islam dengan
orang lain termasuk ahli-ahli keluarganya sendiri.
“Kalau itu diizinkan Allah, bukan soal dosa saya akhirnya tertebus sudah.
“Tetapi sekurang-kurangnya itulah sumbangan saya terhadap Islam di samping
perbuatan saya itu juga telah melukakan hati jutaan umat Islam dan saya
mahukan mereka juga memaafkan saya dengan sekurang-kurangnya saya membina
semula apa yang telah saya runtuhkan,” ujarnya sayu.